Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Pemerhati SMART


Your Ad Here









Mereka bukan setakat berkebolehan mengawasi kelancaran trafik melalui kamera litar tertutup, malah mereka juga perlu peka pada paras kenaikan air sekiranya banjir berlaku di sekitar ibu kota. Wartawan, NOOR HASLIZA NUSI menjejak peranan petugas Bilik Kawalan Trafik SMART.

DERINGAN telefon tidak putus-putus berbunyi. Suasana di Bilik Kawalan Trafik Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd., (SMART) riuh dengan suara-suara yang datang dari hujung telefon.

Siapa dan dari mana panggilan itu dibuat menjadi persoalan harian petugas di bilik tersebut. Dalam kesibukan itu, sepasang tangan pantas merekodkan masalah yang dihadapi dan segera mengarahkan peronda memberi bantuan.

Berada di dalam bilik yang beroperasi selama 24 jam sehari bersama 72 paparan skrin (barco wall) yang terletak berhadapan dengan tempat duduk petugas, situasi ini cukup menjelaskan fungsi kerjaya yang dilakukan mereka.

Nyata, tugas mereka bukan setakat menjawab panggilan telefon, tetapi memantau seluruh laluan terowong dari bilik tersebut melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Contoh lain tugas mereka adalah memeriksa fungsi CCTV, membantu pengguna apabila kereta rosak, kemalangan, menghalau binatang terbiar seperti kucing termasuk memantau objek yang boleh menghalang laluan seperti cebisan tayar.

"Tugasan kami adalah menerima maklumat daripada pengguna terowong atau isyarat banjir daripada pihak berwajib serta mengawal kelancaran trafik menerusi sistem CCTV di bilik ini.

"Kemudian, kami akan mengeluarkan arahan yang diterima kepada Pasukan Ronda SMART dan mereka akan bertindak memeriksa serta memberi bantuan kepada pengguna terowong SMART dalam masa lima minit," kata Penyelia Trafik SMART, Mohd. Hilemi Masban, 27.

Menurutnya, tugas paling mencabar adalah sewaktu penutupan pintu jalan dan pintu air sekiranya berlaku banjir di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimana isyarat banjir itu disampaikan? Menurutnya, sekiranya hujan lebat di seluruh kawasan Kuala Lumpur, perkara pertama yang harus dilakukan oleh setiap petugas di bilik ini adalah persediaan untuk berjaga-jaga sebelum air naik secara mendadak.

"Urusan melibatkan penutupan pintu kedap air dan pintu jalan dilakukan oleh kakitangan di bilik ini atas arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Sekiranya, paras air menunjukkan kurang daripada 70 padu sesaat, ia bermakna paras itu berada pada mode dua. Tetapi jika melebihi 150 meter padu sesaat, paras air berada di mode tiga dan pihak JPS akan mengeluarkan isyarat bersedia atau penutupan di kedua-dua pintu tersebut.

"Sebelum penutupan dilakukan, kami perlu memastikan tiada kenderaan ataupun kakitangan berada di dalam terowong menerusi 220 CCTV di setiap 50 kilometer (km)," katanya sambil memberitahu terdapat 24 pintu kedap air iaitu 12 di dek atas dan 12 di dek bawah yang terletak di laluan trafik atau pintu kecemasan.

KESESAKAN lalu lintas biasa berlaku apabila terowong ditutup akibat banjir.

Bagi memastikan kesemua pintu ditutup dengan baik dan tiada sesiapa berada di dalam terowong, petugas di bilik tersebut akan menghubungi Pasukan Ronda SMART untuk bertindak memeriksa kesemua pintu itu seberapa segera. Masa penutupan seharusnya dilakukan kurang daripada satu jam.

Bagaimana pula sekiranya proses penutupan sedang dijalankan, masih ada pengguna melalui terowong tersebut?

"Kami akan mengumumkan kepada mereka menerusi sistem Isyarat Pesanan Boleh Ubah (Variable Message Sign - VMS). Fungsinya adalah untuk memberikan maklumat penutupan ketika operasi sistem banjir akan dilaksanakan dan menyiarkan maklumat trafik sekitar laluan berkaitan dengan lebuh raya SMART.

"Bantuan penyiaran maklumat dilakukan melalui stesen radio FM (Frequency Modulation). Siaran radio FM boleh diterima sekiranya pengguna terowong sedang mendengar mana-mana radio FM.

"Melalui siaran FM ini juga, Pusat Kawalan SMART boleh membuat pengumuman untuk memberi arahan melalui sistem penyiaran semula," jelasnya sambil memberitahu pintu kecemasan terletak di setiap 250 meter di sepanjang terowong manakala telefon kecemasan pula terdapat di setiap pintu kecemasan yang menghubung terus ke bilik kawalan trafik.

ANTARA tugas di Bilik Kawalan Trafik SMART adalah memantau terowong melalui CCTV.

Bagaimanapun, mungkin ramai dalam kalangan kita ingin mengetahui sejauh manakah cabaran dan pengalaman yang dihadapi petugas, selain memantau kelancaran trafik dan menjawab panggilan telefon.

Menyentuh mengenai cabaran dalam mengharungi kerjaya tersebut, Hilemi, berkata, sejak bertugas hampir dua tahun lalu, banyak pengalaman diperoleh termasuk melayan kerenah pengguna menerusi panggilan telefon bebas tol.

"Kesesakan lalu lintas setiap kali waktu bekerja begitu menguji kesabaran. Apatah lagi berlakunya penutupan terowong disebabkan banjir.

"Kami harus bijak berkomunikasi dengan pengguna dan mahir mengendalikan kesemua sistem di dalam bilik ini dengan baik dan profesional.

"Kami juga perlu memastikan peralatan yang ada dalam terowong berfungsi dengan baik, dengan kerjasama satu kumpulan," katanya.

TEROWONG akan ditutup untuk lalu lintas sekiranya banjir berlaku dan ketika kerja-kerja membersihkan lumpur akibat banjir dilakukan.

Berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, beliau berkata, selain melihat kemalangan yang mengakibatkan kebakaran sebuah kereta Perdana V6 dan air naik sehingga menutupi pandangan CCTV, dia juga pernah menyelamatkan seekor kucing daripada dilanggar.

"Mungkin kucing itu tersesat, tetapi akhirnya dapat diselamatkan oleh peronda," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerjaya tersebut begitu mematangkan fikirannya. Melayan kerenah pengguna menerusi panggilan telefon dan menjawab pelbagai pertanyaan dan aduan sememangnya mencabar mental dan fizikal.

"Walaupun tidak bersua muka dan sekadar bercakap melalui hujung telefon, namun saya cukup memahami apa yang dinyatakan mereka.

"Sebagai petugas, peranan membantu dan menyelesaikan masalah para pengguna adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan.

"Saya bersyukur dengan kerjaya ini. Bagi saya, inilah pengorbanan yang mampu saya berikan dalam menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan," katanya.

PETUGAS tidak boleh leka atau bekerja dalam keadaan stres.

Sementara itu, rakan sekerjanya, Mohammad Azrul Saleh, 24, berkata: "Kerjaya sebegini melibatkan nyawa pengguna. Sekiranya, kami leka atau bekerja dalam keadaan kelam-kabut, pelbagai perkara boleh berlaku.

"Begitu juga apabila bekerja dalam keadaan stres sewaktu sesuatu perkara berlaku. Ia membuatkan seseorang itu mula berasa tertekan.

"Dalam keadaan tertekan, mungkin seseorang petugas tidak menyedari terdapat kenderaan rosak atau berlaku kemalangan kecil sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Ini akan membebankan pengguna terowong," katanya.

Menurutnya, mereka dilatih mengenai apa tindakan sewajarnya jika sesuatu kejadian berlaku dan menganggap kerjaya tersebut adalah nadi terowong SMART.

Tambahnya, sewaktu bekerja mereka juga dinasihati agar tidak gugup sekiranya berlaku kemalangan atau kesesakan lalu lintas.

"Jika berasa gementar, semua kerja tidak akan menjadi, sedangkan keselamatan pengguna adalah tanggungjawab kami," ujarnya.


No comments:

Powered by Blogger.