Tan Sri Elyas Omar Teraju KL lebih sedekad

PROJEK pembinaan bangunan tinggi antara aspek yang diutamakan Elyas (kanan).


Beliau pernah mentadbir Wilayah Persekutuan KL lebih sedekad sebagai Datuk Bandar yang ketiga. Apakah ramuan beliau sehingga berjaya mengangkat Kuala Lumpur menjadi sebuah kota moden yang begitu pesat membangun pada hari ini?

SEMALAM genap 35 tahun tertubuhnya Wilayah Persekutuan (WP). Daripada kawasan perlombongan, berubah menjadi pekan kecil dan akhirnya sebuah kota moden. Bermula dengan sebuah wilayah di Kuala Lumpur, ia disusuli dengan gabungan Pulau Labuan dan Putrajaya.

Kuala Lumpur adalah sebuah kota yang sarat dengan seribu satu cerita. Kisah sejarah, penghuni, budaya, seni, pembangunan, jenayah, bisnes dan hiburan menjadikan Kuala Lumpur kota yang penuh dengan warna-warna kehidupan.

Peringkat awal, Kuala Lumpur dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ia telah diberi gelaran sebagai bandar raya pada tahun 1972 dan kemudian diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1974 seterusnya diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan Malaysia yang pertama.

Tempoh 35 tahun itu juga menyaksikan WP Kuala Lumpur menerima peneraju yang bukan calang-calang. Jawatan Datuk Bandar hakikatnya antara kerusi paling panas kerana mengemudi wilayah paling pesat di Malaysia. Malah, ia menuntut cabaran yang bukan sedikit.


Walaupun WP Kuala Lumpur sudah menerima sembilan Datuk Bandar dengan yang terbaru Datuk Ahmad Fuad Ismail yang dilantik secara rasmi pada 14 Disember 2008, namun tiada siapa dapat menafikan legasi yang ditinggalkan oleh bekas Datuk Bandar ketiga, Tan Sri Elyas Omar.

Menjawat jawatan Datuk Bandar selama 11 tahun, Elyas merupakan antara individu penting dalam memastikan pembangunan Kuala Lumpur dapat dicapai sebaik mungkin. Malah, sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau berjaya menjadikan Kuala Lumpur daripada sebuah bandar yang sunyi dan sepi kepada kota yang ceria.

Mengulas mengenai perkara itu, Elyas ketika ditemui Kosmo! berkata, sepanjang bergelar Datuk Bandar, semua pengalaman yang dilalui banyak memberi kepuasan kepadanya terutama dari aspek prestasi dan pencapaian Kuala Lumpur ketika itu.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat memberi sumbangan kepada rakyat Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia amnya melalui amanah yang diberikan. Boleh dikatakan, setiap tahun, saya melontarkan pelbagai idea baru untuk memperbaiki pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya lebih cekap, bersih dan amanah," jelas Elyas yang kini berusia 73 tahun.

WAJAH Kuala Lumpur sebelum ia dibangunkan.


Dalam pada itu, Elyas turut berkongsi rahsia yang mungkin ramai tidak mengetahuinya. Sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pada tahun 1981, beliau masih menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Dulu, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia sering menjemput beberapa individu seperti pegawai-pegawai kanan kerajaan, tokoh-tokoh swasta, profesor universiti dan ahli politik untuk menghadiri jamuan makan malam di rumahnya yang ketika itu terletak di kuarters kerajaan Bukit Tuanku.

"Selepas makan dan solat Isyak, kami seramai 15 hingga 20 orang ketika itu akan duduk bersila dan mula berbincang tentang pelbagai topik, isu dan masalah dengan bebas, telus serta tanpa prejudis. Proses ini berlaku setiap dua atau tiga bulan sekali.

"Dalam perbincangan itu, kami bebas bercakap apa sahaja sama ada mengkritik, menegur atau mengulas mengenai pentadbiran atau dasar-dasar kerajaan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan. Waktu itu, Tun langsung tidak bercakap sebaliknya cuma mendengar apa yang kami perkatakan.

"Salah satu topik yang paling hangat dibincangkan ialah pentadbiran Kuala Lumpur dan keadaan kota yang tidak menyenangkan ramai pihak khususnya Tun Mahathir sendiri. Saya juga antara individu yang lantang bersuara terutama mengenai imej dan aspek pentadbiran Kuala Lumpur yang kurang maju.

"Justeru, saya sendiri tidak sangka selepas Tun menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, saya dilantik sebagai Datuk Bandar. Mungkin kerana beliau melihat saya banyak bercakap dan kemudian memberi tanggungjawab kepada saya untuk melaksanakan apa yang telah dikatakan sebelum itu," terang Elyas yang mentadbir WP Kuala Lumpur dari 1981 hingga 1992.

WAJAH Elyas pernah menghias majalah Asia Magazine pada tahun 1988.

Apabila bergelar Datuk Bandar, secara tidak langsung Elyas tahu pandangan tokoh-tokoh yang hadir ketika pertemuan dengan Tun di kediamannya mengenai isu pentadbiran Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau mula melakukan pelbagai perancangan untuk membangunkan Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai sleepy town, kotor, sampah sarap merata, setinggan berselerak, tiada taman dan pokok untuk menjadikan ia sebagai ibu kota yang boleh dibanggakan.

Namun, ia satu cabaran yang besar untuk dihadapi kerana dahulu DBKL tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

"Dahulu, kami hanya memperoleh hasil pendapatan menerusi kutipan cukai pintu sebanyak RM75 juta setahun. Jadi, bagaimana Kuala Lumpur dapat dibangunkan dan dipelihara dengan baik? Untuk itu, saya perlu mempercepatkan projek pembangunan di tanah-tanah yang kosong.

"Caranya, saya memanggil tuan punya tanah dan menyuruh mereka bangunkan kawasan tersebut. Mereka diberi kelulusan perancangan dengan pantas berbanding mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk DBKL meluluskan sesuatu projek pembangunan.

"Kesimpulannya, lebih cepat sesuatu projek dibangunkan, maka lebih cepat DBKL menambah hasil pendapatan dan sekali gus dapat menampung pembiayaan membangunkan Kuala Lumpur," kata Elyas yang dilantik menjadi Datuk Bandar pada usia 45 tahun. Langkah pertama yang dilakukan setelah menjadi Datuk Bandar ialah memperkemaskan pentadbiran DBKL dengan mengubah sikap pegawai-pegawai terhadap peranan mereka.

Sewaktu pentadbiran Elyas juga, banyak perkara baru yang dilaksanakan. Antaranya ialah memperkemaskan kawasan setinggan dengan cara memindahkan mereka ke rumah-rumah pangsa yang dibina DBKL dan membangunkan semula kawasan setinggan seperti di Kampung Pasir, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama.

Projek ini dilakukan oleh DBKL dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan melalui penswastaan semula kawasan setinggan.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan terhadap aspek menjaga kebajikan rakyat seperti memperkemaskan sistem pelesenan, menempatkan semula penjaja dan memperkenalkan program kebajikan untuk pegawai-pegawai rendah DBKL, biasiswa untuk anak-anak dan anugerah pegawai cemerlang.

Dalam konteks mengindahkan Kuala Lumpur, Elyas telah merancang satu kempen kebersihan yang akhirnya diguna pakai oleh kerajaan untuk kempen kebersihan di seluruh negara.

Beliau juga bertanggungjawab mewujudkan konsep perumahan dalam taman seperti di Taman Tun Dr. Ismail, di kawasan Bukit Kiara dan sebagainya. Elyas juga turut mencadangkan pembinaan bangunan-bangunan tinggi seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan projek sistem pengangkutan Aliran Transit Ringan (LRT) yang kini menjadi lambang kemegahan Kuala Lumpur.

Beliau turut memulakan projek penswastaan kawasan seperti di Wangsa Maju.

Apa yang pasti, semua yang dilakukan Elyas adalah semata-mata untuk menyaksikan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya yang maju dan boleh dicontohi oleh negara lain.

Justeru, tidak hairanlah apabila Elyas diberi penghormatan anugerah Tokoh Wilayah Persekutuan pada tahun 2007 sekali gus menjadi individu pertama yang menerima anugerah tersebut.

Ia merupakan anugerah yang julung kali diberi bagi merai dan mengiktiraf jasa, sumbangan dan pengorbanan tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan setempat.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.